Make your own free website on Tripod.com

TERENGGANU

TEMPAT PERKELAHAN & PERCUTIAN
DI TERENGGANU

HUTAN LIPUR SEKAYU TERENGGANU

Hutan Lipur Sekayu adalah terletak di dalam kawasan Hutan Simpanan Hulu Terengganu Tambahan, daerah Hulu Terengganu, 16 km. dari pekan Kuala Berang dan 56 km. dari bandar Kuala Terengganu.Mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar.

Ianya mula dimajukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dalam tahun 1974 dan telah dibuka dengan resminya oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amar DiRaja, Menteri Besar Terengganu pada 15 Mei 1985.

Kawasan hutan ini kaya dengan pokok-pokok dari jenis Dipterocarp seperti Meranti dan Damar Hitam (Shorea Species), Keruing (Dipterocarpus species) dan lain-lain jenis bukan Dipterocarp.

Di antara infrastruktur dan kemudahan-kemudahan berekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking), kebun buah-buahan, kolam ikan, tapak semaian, muzium pokok.

3 buah penginapan berupa chalet dilengkapi dengan peralatan perabot, bekalan api dan air terletak di tepi aliran air terjun dan dihias dengan keindahan alam sekeliling yang disulami oleh tempat istirehat dan kebun bunga yang diberi nama ' Sega ', ' Semambu ' dan ' Manau '.

Tiap-tiap satu disediakan 1 bilik tidur, tandas, dapur, bilik tetamu dan beranda.Bagi bilangan yang lebih ramai pula, terdapat 2 buah rumah rehat lengkap dengan alatan perabot yang mengandungi 3 bilik tidur, bilik tetamu, dapur, tandas, setor dan tempat letak kereta. 

Disamping itu juga terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempesonakan, ianya merupakan tarikan utama pada pengunjung-pengunjung samada dari dalam ataupun luar negeri.

 

TASEK KENYIR

Tasik kenyir merupakan empangan buatan manusia yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik. Ia mempunyai kawasan takungan air seluas 38,000 hektar dan kawasan daratan seluas 171,199 hektar. Tasik Kenyir terletak di kawasan barat Daerah

Hulu Terengganu iaitu 55 km. dari bandar Kuala Terengganu.

Kawasan Tasik Kenyir mempunyai 340 buah pulau kecil dan besar yang asalnya ialah kemuncak bukit yang tidak ditenggelami air. Keindahan ini lebih memukau dengan terdapatnya 14 air terjun di sekitar kawasan tasik yang sesuai untuk riadah keluarga, bermandi-manda dan berkelah di hujung minggu. Di antara air terjun yang popular ialah Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Air Terjun Tambat dan Air Terjun Pertam.

Tasik Kenyir sangat popular bagi pencipta alam, para pemancing dan juga jugugambar. Berbagai spesis ikan air tawar yang mahal harganya banyak terdapat dalam tasik ini. Di antaranya seperti Toman, Sebarau, Kaloi, Kelah, Lampam, Kelisa dan Kalui. Kawasan memancing yang popular ialah seperti di sekitar Sungai Cacing, Sungai Terengganu, Sungai Tembat dan LebanTerengganu.Para pengunjung tidak perlu khuatir tentang penginapan di sini. Kemudahan tempat penginapan seperti rumah bot, calet terapong dan resort banyak terdapat di sini.Para pengunjung tidak perlu khuatir tentang penginapan di sini. Kemudahan tempat penginapan seperti rumah bot, calet terapong dan resort banyak terdapat di sini.

Pulau Redang yang terletak di perairan Negeri Terengganu menjadi tumpuan penyelam-penyelam kerana mempunyai keindahan dalam dasar laut yang istimewa berbanding dengan tempat-tempat lain.Di perairan Pulau Redang terdapat taburan terumbu karang diantara yang terluas di rantau ini. Terumbu-terumbu batu karang di sini dikatakan mempunyai sebanyak 346 spesis menjadikannya taman laut yang terindah di dunia.Pulau Redang yang mempunyai penduduk seramai 1300 orang terdiri daripada 200 keluarga. Pekerjaan utama penduduk di sini ialah nelayan laut pantai dan dalam. Manakala generasi baru pulau itu kini lebih memberi tumpuan kepada industri pelancongan yang berkembang pesat di sini seperti mengusaha perkhidmatan bot pelancong, menjadi pemandu pelancong dan juga bekerja di chalet-chalet swasta.
Di Pulau Redang mempunyai sejumlah 9 buah pulau. Pulau Redang merupakan pulau yang terbesar berukuran 6 km lebar dan 7 km panjang, diikuti Pulau Pinang, Pulau Kerengga Kecil dan Pulau Ling. Pulau Redang terletak 45 km (24.2 batu nautikal) ke utara Kuala Terengganu, 22.5 km (12 batu nautikal) dari kampung Merang dan 26 km (14 batu nautikal) dari Pulau Perhentian. Penjalanan dengan menaiki bot memakan masa 3-4 jam dari Kuala Terengganu, 1-1.5 jam dari Merang dan 2-3jam dari Kuala Besut.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di pulau ini umpamanya menyelam, 'snorkeling', berenang, berkelah, berkhemah, merentas hutan dan menaiki bot mengeliling pulau-pulau berhampiran. Memancing dan mengutip kerang atau hidupan air adalah dilarang Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Taman Laut Pulau Redang, pada tahun 1995 seramai 23,000 orang pelancong telah melawat pulau ini.

MASJID TERAPUNG

Masjid yang lebih dikenali dengan panggilan Masjid Terapung ini sebenarnya diberi nama  Masjid Tengku Tengah Zaharah sempena nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu , Al-Marhum Sultan Mahmud  terletak kira-kira 7 km dari bandar, mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di negara ini.

Masjid yang mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya direkabentuk oleh Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dari Seni Bahri dengan menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.

Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.

Masjid yang telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Terengganu, Sultan Mahmud ini menyediakan kemudahan lain seperti bilik diraja, mini perpustakaan, bilik dan pejabat imam, stor dan tempat wuduk serta kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.

Dengan kombinasi lanskap, warna langit yang membiru, kilauan cahaya mentari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan , pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.

ISTANA MAZIAH

Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi Kesultanan Terengganu. Istana dua tingkat ini letaknya berhampiran dengan kaki 'Bukit Puteri' disebelah matahari naik. Jauhnya dari gigi air Sungai Kuala Terengganu lebih kurang 10 rantai. Keadaannya menghala ke Laut China Selatan.

Di Istana inilah upacara  rasmi negeri diadakan seperti istiadat-istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, keputeraan, Perkahwinan Diraja, Berkhatan, Bertindik dan tempat sambutan lawatan-lawatan tetamu negeri . Istana ini didirikan bagi menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar ( yang dibina pada masa pemerintahan  Sultan Umar (Marhum Baginda) pada 7 Zulhijjah 1286 H (10.3.1870 m) ) yang letaknya berhampiran dengan tapak yang sama. Terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat pukul 10.00 pagi, 31 Mei 1895 ( Zulhijjah 1312) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 -1918). Manakala catatan Dato'   Seri Amar DiRaja Haji Ngah Muhammad bin Yusof , istana ini dibina pada tahun 1897.Pengurusan pembinaan serta juteranya ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Abdul Jalil, seorang ahli seni yang terkenal semasa itu (Ipar kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga)

 

Bahan yang digunakan untuk membina istana ini ialah campuran kapur , tanah liat dan pasir garam, putih telur dan manisan. Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan istana ini. Upacara " naik istana " diadakan pada 5 Ogos 1903 ( 14 Jamdil Awal 1321 ) selepas mengalami masalah kewangan menyebabkan pembinaan tertangguh seketika.

BUKIT PUTERI

Bukit Puteri tersergam indah. Berdiri megah menghala ke Sungai Terengganu merupakan tempat bersejarah yang penuh keunikan dan menyimpan misteri. Letaknya berhampiran dengan Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu iaitu di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Dengan keluasannya kira-kira 0.688 hektar dan tingginya lebih kurang 200 meter. Bukit ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I. Kononnya nama Bukit Puteri diperolehi dari urutan cerita-cerita primitif. Ada yang mengatakan nama diperolehi daripada nama Tuk Raja Menteri dari Johor yang membuka Bukit Puteri.

Selain daripada itu ada pula cerita menyatakan bukit ini menjadi tempat tinggal Puteri Bunian dan penduduk tempatan selalu meminjam pinggan dan mangkuk dari puteri tersebut untuk majlis-majlis keramaian atau perkahwinan tetapi sebilangan peminjam tidak memulang barang-barang yang dipinjam atau menggantikan barang yang pecah . Akibat tidak amanah ini , tuan puteri meninggalkan bukit ini  ke sebuah bukit lain di Daerah Besut.
Mengikut Sejarah Terengganu pula Bukit Puteri telah wujud sejak abad ke 16 lagi.

Bukit inilah pada abad ke 19, menjadi rebutan dan medan pertempuran beberapa pihak yang saling bertelingkah untuk menguasai pentadbiran di Kuala Terengganu. Kedudukannya yang tinggi amat sesuai sebagai sebuah kota pertahanan dan dapat mengawas kapal-kapal musuh memasuki muara. Kota yang dibina oleh Yang DiPertuan Besar Tengku Umar pada tahun 1830 berikutan perebutan kuasa untuk memerintah diantara baginda dan Yang DiPertuan Tun Raja Mansur. Biarpun Tengku Umar dikalahkan dan Raja Mansur ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang ketujuh pada tahun 1839, Tengku Umar berjaya merampas semula kota ini dan ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang ketujuh pada tahun 1831, bergelar Sultan Mansur Syah II tapi pada tahun 1839 , Tengku Umar berjaya merampas semula kota ini dan ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang kesembilan bergelar Baginda Sultan Omar. Di Kota Bukit Puteri inilah baginda bersemayam hingga baginda mangkat pada tahun 1876.

Diatas bukit ini terdapat beberapa monumen dan artifek bersejarah. Antaranya ialah Genta (Loceng Besar) Meriam beranak, Tiang Bendera, Rumah Api, Kubur dan Kubu Pertahanan Bandar Kuala Terengganu.

 

KEMBALI KE LAMAN UTAMA